Persediaan Sebelum Sesi Ruqyah Online (Checklist Penting Pesakit)

Dalam era digital hari ini, Rawatan Ruqyah tidak lagi terhad kepada sesi bersemuka. Dengan perkembangan teknologi, Ruqyah secara atas talian semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam. Namun begitu, persoalan utama ialah, adakah pesakit benar-benar bersedia sebelum sesi Ruqyah Online dimulakan?

Persediaan yang rapi bukan sahaja membantu kelancaran sesi, malah memberi kesan besar kepada keberkesanan rawatan. Dalam Islam, setiap usaha perlu dimulakan dengan niat yang betul, persediaan yang teratur dan tawakal kepada Allah SWT.

Artikel ini menghuraikan secara lengkap checklist penting sebelum sesi ruqyah online supaya pesakit lebih bersedia dari sudut rohani, mental dan teknikal.

Apa Itu Ruqyah Online?

Ruqyah ialah bacaan ayat-ayat Al-Quran, doa dan zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk tujuan penyembuhan dan perlindungan daripada gangguan makhluk halus, sihir, ain dan penyakit rohani.

Dalil umum tentang ruqyah boleh dirujuk dalam Surah Al-Isra’ ayat 82.

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Ruqyah Online pula ialah sesi bacaan dan bimbingan ruqyah yang dijalankan melalui platform digital seperti platform Google Meet dan Zoom, dengan syarat ia mematuhi garis panduan syarak dan tidak bercanggah dengan manhaj yang sahih.

Sebagai Perawat Islam, pendekatan mesti tegas pada manhaj dan lembut pada pesakit, memastikan akidah terpelihara dan rawatan dilakukan secara Profesional.

Kenapa Persediaan Sebelum Ruqyah Online Sangat Penting?

Ramai pesakit menganggap Sesi Ruqyah hanya sekadar “dengar bacaan dan tunggu reaksi”. Hakikatnya, Rawatan Ruqyah adalah satu proses spiritual yang memerlukan:-

  • Niat yang jelas

  • Hati yang bersih

  • Suasana yang kondusif

  • Kesediaan mental dan emosi

Tanpa persediaan yang baik, gangguan teknikal dan gangguan luaran boleh menjejaskan fokus serta keberkatan sesi rawatan.

Checklist Penting Sebelum Sesi Ruqyah Online

Berikut ialah checklist lengkap yang disarankan:-

1. Betulkan Niat Dan Tawakal

Sebelum sesi bermula, pesakit disarankan:-

  • Berniat kerana Allah SWT semata-mata

  • Yakin bahawa penyembuhan datang daripada Allah

  • Tidak meletakkan harapan kepada perawat, tetapi hanya kepada Allah sahaja

Firman Allah dalam Surah Yunus Ayat 57 menyebut bahawa Al-Quran adalah penawar bagi penyakit dalam dada.

Keyakinan ini penting kerana Ruqyah bukan sihir atau ritual mistik, tetapi ibadah dan doa.

2. Bersihkan Diri (Wuduk Dan Pakaian Sopan)

Walaupun tidak wajib, sangat digalakkan:-

  • Mengambil wuduk sebelum sesi rawatan

  • Memakai pakaian yang menutup aurat

  • Dalam keadaan bersih dan suci

Keadaan ini membantu menghadirkan rasa khusyuk dan hormat terhadap ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan.

3. Sediakan Tempat Yang Tenang Dan Tertutup

Ini antara perkara paling penting untuk sesi Ruqyah Online:-

✔ Pilih bilik yang sunyi
✔ Tutup televisyen dan radio serta henfon dalam mod senyap
✔ Pastikan tiada gangguan dari ahli keluarga
✔ Jangan lakukan sesi di tempat awam

Gangguan bunyi boleh menghilangkan fokus dan mengganggu keberkesanan bacaan Ruqyah.

4. Pastikan Internet Stabil Dan Peranti Berfungsi

Ruqyah Online sangat bergantung kepada kelancaran teknikal.

Sila pastikan:-

  • Internet stabil

  • Bateri telefon/laptop penuh

  • Kamera dan mikrofon berfungsi

  • Gunakan earphone jika perlu

Gangguan talian internet boleh menyebabkan bacaan terputus-putus dan mengganggu momentum sesi rawatan.

5. Sediakan Air Mineral Secukupnya

Perawat akan meminta pesakit menyediakan air mineral secukupnya sebelum sesi rawatan dimulakan.

Air mineral ini akan dibacakan ayat Ruqyah untuk diminum, disapu pada anggota badan yang sakit (sekiranya perlu) atau digunakan sebagai mandian selepas sesi rawatan.

Namun perlu diingat, air tersebut hanyalah asbab. Kuasa penyembuhan tetap milik Allah SWT.

6. Elakkan Perkara Maksiat Sebelum Sesi

Sangat digalakkan untuk:-

  • Tidak mendengar muzik yang melalaikan

  • Tidak menonton perkara tidak baik

  • Tidak melakukan dosa secara sengaja

Hati yang kotor sukar menerima kesan ayat Al-Quran. Taubat ringkas sebelum sesi rawatan sangat membantu membuka ruang keberkatan untuk menjemput kesembuhan.

7. Jangan Dalam Keadaan Terlalu Letih Atau Mengantuk

Pilih waktu atau sesi rawatan yang sesuai:-

  • Tidak terlalu lewat malam

  • Tidak dalam keadaan terlalu lapar

  • Tidak selepas bekerja atau terlalu penat

Kekhusyukan dan fokus memainkan peranan yang sangat besar dalam sesi rawatan.

8. Bersedia Secara Mental Dan Emosi

Sebahagian pesakit mungkin mengalami:-

  • Reaksi fizikal seperti menangis

  • Rasa panas atau sejuk

  • Degupan jantung laju

  • Rasa mengantuk

Semua ini adalah reaksi biasa dan tidak perlu panik. Perawat akan membimbing sepanjang sesi rawatan dijalankan.

Penting untuk pesakit:-

  • Tidak rasa takut

  • Tidak melawan

  • Ikut arahan Perawat dengan tenang

9. Maklumkan Sejarah Gangguan Atau Simptom

Sebelum sesi bermula, berikan maklumat jelas seperti:-

  • Sejak bila simptom berlaku

  • Pernah buat rawatan sebelum ini

  • Ada mimpi pelik atau gangguan tertentu

  • Ada sejarah trauma atau tekanan

Maklumat ini dapat membantu Perawat menilai sama ada gangguan bersifat spiritual, psikologi atau gabungan kedua-duanya.

Pendekatan rawatan mesti holistik — bukan terus menghukum semua masalah sebagai sihir.

10. Tanggalkan Azimat Atau Benda Syubhah

Jika ada:-

  • Tangkal

  • Azimat

  • Gelang mistik

  • Barang pelik yang diberi oleh bomoh

Sebaiknya tanggalkan sebelum sesi bermula.

Ruqyah bertujuan membersihkan tauhid, bukan mencampur adukkan unsur syirik dan khurafat.

Kesilapan Yang Perlu Dielakkan Sebelum Ruqyah Online

Ramai pesakit melakukan kesilapan berikut:-

❌ Menganggap Ruqyah sebagai “Pilihan Terakhir @ Last Option”
❌ Mengharapkan kesan dramatik serta-merta
❌ Sesi dibuat sambil baring dan bermain telefon
❌ Tidak ikut arahan selepas sesi

Ruqyah adalah proses. Ada yang sembuh segera, ada yang memerlukan beberapa sesi dan disiplin amalan harian.

Amalan Ringkas Sebelum Sesi Bermula

Disarankan membaca:-

  • Surah Al-Fatihah

  • Ayat Kursi

  • 3 Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas)

  • Selawat ke atas Nabi SAW

Amalan ini membantu melembutkan hati dan membuka ruang rahmat Allah SWT sebelum sesi rasmi bermula.

Penutup: Persediaan Adalah Separuh Kejayaan

Dalam Islam, usaha dan persediaan adalah tanda kesungguhan. Ruqyah bukan sekadar sesi bacaan, tetapi satu bentuk jihad melawan gangguan dalaman dan luaran.

Persediaan sebelum sesi Ruqyah Online memainkan peranan besar dalam menentukan kelancaran dan keberkesanan rawatan. Dengan niat yang betul, tempat yang sesuai dan hati yang bersedia, In Shaa Allah sesi akan berjalan dengan lebih baik.

Pesakit wanita sangat digalakkan agar ditemani mahram @ waris sebagai peneman, pemerhati atau saksi semasa sesi rawatan Ruqyah Online dilakukan.

Untuk kes yang serius, pesakit dinasihatkan untuk menyediakan bekas atau plastik kerana dikhuatiri akan termuntah semasa sesi rawatan dilakukan. 

Akhirnya, RuqyahOnline.Asia tidak dapat memberi sebarang jaminan yang setiap rawatan pasti menjanjikan kesembuhan. Kita hanya berusaha sahaja, kesembuhan total adalah milik Allah SWT sepenuhnya.

© 2026 RuqyahOnline.Asia | Semua Hak Cipta Terpelihara